Info

Jurusolek pengantin maut dalam perjalanan ke rumah pengantin dirempuh kenderaan

KUALA NERUS: Jurusolek pengantin yang dalam perjalanan ke rumah pengantin maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan, Kampung Bukit Tunggal, di sini, hari ini.

 

Mangsa, Annur Izatul Dawiah Mohd Razali, 24, dari Kampung Kesom Che Nordin, Manir, Kuala Terengganu yang memandu Honda Civic meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik Negeri (JSPT), Superintendan Ismail Man, berkata selain wanita itu, turut terkorban, pemandu Proton Waja, Mohammad Faiz Azmi Harun, 31, dari Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Waja, Perodua Viva dan Honda Civic itu berlaku jam 1.25 petang.

Katanya, nahas dipercayai berlaku apabila Proton Waja dipandu pengawal keselamatan dari arah Jambatan Sultan Mahmud menghala ke pekan Batu 6, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan setiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Semarak, di sini.

“Selepas melanggar pembahagi jalan, kenderaan terbabit kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh Viva dan Honda Civic. Kereta itu seterusnya terhumban ke dalam semak. Pemandu kenderaan terbabit meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan Perodua Viva dan Honda Civic mengalami kerosakan teruk.

Ismail berkata, pemandu Perodua Viva, Mohd Faiz Fikri Suhaimi, 30, dari Taman Mesra Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan tidak cedera.

Katanya, kecederaan penumpang, Nor Syuhada Juhari, 33, dari Taman Kalongan Mas, Rusila, Marang belum diketahui dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : hangitsangat

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button