Hiburan

Pernah Popular Dalam Filem “Mekanik”, Begini Rupanya Keadaan Pelakon Susan Lankester Sekarang

Kemunculan aktres kacukan Cina-Inggeris, Susan Lankester, 59, menerusi filem komedi pecah panggung, Mekanik arahan Othman Hafsham menjadi titik tolak buatnya memilih dunia seni sebagai punca rezeki.

Biarpun membintangi filem Mekanik memberi cabaran besar apabila belum fasih berbahasa Melayu menyebabkannya terpaksa menghafal bulat-bulat skrip diberikan, namun pengalaman mendewasakannya.

Lakonan bukan diimpikan, namun Susan atau nama sebenarnya, Susan Anne Lankester akur, bidang seni meletakkan dirinya pada kedudukan hari ini.

Dari lakonan, Susan melebarkan sayap berjinak-jinak dalam dunia nyanyian. Pada 1993, aktres yang terlebih dahulu dikenali sebagai pelakon komedi itu melakar sejarah peribadi apabila muncul album sulung berjudul Takdir.

Ternyata, album terbitan Warner Music itu menjadi pertama dan terakhir apabila Susan mengambil keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.

Berkongsi keputusannya itu, Susan berkata, dia bukan seorang penyanyi yang baik.

“Seorang penyanyi harus memiliki vokal bagus dan lantang. Namun, keistimewaan ini tiada pada vokal saya. Mungkin saya boleh menyanyi, tetapi sedar suara saya bukan tergolong dalam kategori penyanyi yang bagus.

“Bukan sahaja masalah vokal menyebabkan saya mengambil keputusan mengundurkan diri, tetapi turut membabitkan persediaan diri sebagai penyanyi,” ujarnya merendah diri.

Wanita kelahiran Johor itu berkata, bergelar penyanyi sangat menyeronokkan, namun cabaran juga besar.

“Kita kena buat persembahan di pusat membeli-belah dan menyanyi secara live. Walaupun suara tidak bagus, namun, saya tidak mahu menyanyi secara ‘miming’.

“Saya tak mahu menipu peminat. Namun, ada kala saya terpaksa ‘miming’ dalam situasi mendesak.

“Jika saya mementingkan kualiti dalam lakonan, begitu juga sifat sama apabila menjadi penyanyi. Daripada terus dihantui perasaan bersalah dan tidak selesa kerana menipu peminat, lebih baik saya berhenti menyanyi,” katanya kepada BH Online.

Namun, katanya, momen memahat kenangan manis apabila berduet dengan Seniman Allahyarham Tan Sri S M Salim menerusi lagu Dilema.

Susan menyifatkan pelantun lagu Apa Dah Jadi itu sebagai penyanyi yang mudah memberi kerjasama dan ‘sporting’.

“Saya dan arwh dikehendaki menari ketika mengadakan persembahan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik tiga dekad lalu.

“Ada antara gerak tarian memerlukan saya menyentuhnya, tetapi arwah sangat sporting. Beliau ikutkan sahaja permintaan saya, asalkan persembahan berjalan dengan baik,” katanya.

Selain watak Nina dalam filem Mekanik, Susan cukup dikenali menerusi sitkom 2+1 yang turut menampilkan Imuda, Allahyarham Ahmad Busu, Datuk Ziela Jalil dan Louisa Chong.

Mengimbau zaman kegemilangannya, penyanyi yang popular dengan lagu Antara Dua Zaman dan Bukan Sekadar Lakonan itu mengakui, ia adalah era ’emas’ dalam kerjaya seninya.

“Momen membintangi sitkom 2+1 sangat menyeronokkan. Rakaman dibuat di panggung Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

“Sambutan diterima sangat luar biasa. Panggung sentiasa penuh dengan penonton. Malah, bayaran diterima boleh tahan lumayan.

“Hanya berlakon sitkom 2+1 sahaja saya boleh meneruskan hidup,” katanya yang pernah muncul dalam teater Natrah arahan Erma Fatima.

Memandangkan sitkom 2+1 pernah mencetuskan fenomena dan diingati hingga hari ini, Susan tidak menolak untuk muncul dalam sitkom berkenaan sekiranya ada produksi sudi untuk menerbitkannya semula.

“Sudah tentu saya terima jika ada tawaran yang ingin membuat ‘remake’ sitkom itu. Lagipun, kebanyakan pelakon utamanya masih ada.

“Cuma, usaha ini perlu mendapat sokongan stesen penyiaran. Publisiti meluas perlu diberikan. Sebelum ini, saya pernah menonton sebuah sitkom yang dibikin semula dan disiarkan menerusi saluran penstriman.

“Namun, sambutannya tidak sehebat seperti sitkom ini disiarkan di kaca televisyen,” katanya yang pernah membintangi filem Rumah Maut, Ujang, Nadia, Sutera Putih, Susuk, Take Me To Dinner dan Manisnya Cinta Di Cappadoccia.

Berkongsi perkembangan terkini, pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-11 menerusi filem Femina itu berkata, selain kembali aktif berlakon, dia juga kini menduduki kerusi penerbit.

“Sebelum ini, saya pernah hilang dari dunia lakonan kerana aktif berlakon teater. Saya mahu mempertajamkan asas lakonan kerana pentas teater jalan terbaik.

“Kemudiannya, barulah saya kembali aktif berlakon dengan membintangi drama Keluarga Iskandar, telefilem dan terbaharu, drama komedi gelap, Keluarga Baha Don untuk saluran Viu.

“Impian saya mahu menjadi seperti Othman Hafsham yang banyak memberi bimbingan dan ilmu kepada pelakon seperti dilakukan kepada saya pada awal kemunculan dalam bidang lakonan,” katanya yang pernah menyandang Ketua Perunding Produksi VIU sebelum meletakkan jawatan, tahun lalu.

Sumber: BH

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *