Uncategorized

Didakwa Belum Buat Pengesahan Rujuk, Diana Beranggapan Tak Perlu ‘Hitam Putih’ Kerana Sudah Sah

Umum mengetahui bahawa apabila berlaku lafaz cerai tanpa kebenaran mahkamah, ia perlu dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pengesahan dan ditentukan jumlah talak yang dilafazkan serta baki talak.

Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu pendaftaran perceraian di luar mahkamah.

Menurut sumber sebuah laman portal berita online, memetik Seksyen 57 (1):

“Walau apa pun Seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mah- kamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada mahkamah.”

Malah, lafaz cerai yang dibuat tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan di bawah enakmen sama, di bawah Seksyen 125.

Oleh itu, bagi pasangan yang sudah bercerai di luar dan kemudiannya rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di mahkamah.

Tujuannya agar perceraian dan rujuk itu dapat direkodkan dan dijelaskan kepada kedua-dua pihak baki talak yang masih tinggal.

“Tak rasa itu satu keperluan. Itu hanya satu proses, tak perlu hitam putih.”

Berbahas soal ini, demikian jawapan pelakon, Diana Danielle ketika diminta mengulas dakwaan dia dan suami, Farid Kamil belum mendaftarkan pengesahan rujuk yang berlaku 31 Ogos lalu.

Diana berkata, secara kaedah Islam, mereka telah sah rujuk semula sebagai suami isteri dan tidak melanggar mana-mana hukum.

“Apa keperluannya? Atas kertas sahaja pun, tak mengubah apa-apa. Itu hanya satu proses lain. Tak perlu hitam dan putih.

“Tak penting pun, sekadar satu proses. Kecualilah tak pernah jadi (rujuk). Sekarang kami telah rujuk, tidak akan mengubah apa-apa.

“Secara hukum Islam, kami tak melanggar apa-apa. Cuma secara undang-undang sahaja belum,” ujarnya

Terdahulu, mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, pasangan tersebut mengumumkan rujuk semula pada 31 Ogos 2023.

Namun, peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Farid dan Diana tetap perlu ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkan proses rujuk semula itu.

“Kalau sudah rujuk, mereka tetap perlu ke mahkamah syariah untuk disahkan dan barulah sijil rujuk akan dikeluarkan.

“Jika tidak ke Mahkamah Syariah, pihak berkuasa tidak iktiraf rujuk pasangan itu,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya bilakah agaknya mereka akan mendaftarkan pengesahan rujuk, Diana menjawab;

“Buat masa ini, kami ambil nafas dahulu. Kami sekarang macam, ala mahkamah lagi. Kejap ya,” ujarnya.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *