Semasa

Farid Kamil dedah ada orang ketiga punca isteri mohon cer4i, Diana Danielle tampil jawab dakwaan Farid Kamil

Farid Kamil, 42, mendedahkan keretakan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Farid ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, berkata, dia mula menghidu mengenai kecurangan yang berlaku sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sudah memberi petunjuk dan hidayah. Saya juga sudah cuba sedaya upaya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah tapi hari ini saya dapati ada pihak ketiga yang menyokong dia dari belakang.

“Saya kalau boleh nak tegakkan undang-undang Islam dan hak sebagai seorang suami, yang mana rumah tangga diganggu. Saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami. Dan bila kita menuntut jawapan daripada dia mengenai perkara itu, perpisahan yang diminta.

“Saya sayangkan keluarga saya, saya tidak pernah lagi diuji sebegini. Saya baru mengesahkan mengenai hal ini hari ini tapi saya sudah maklum dari tahun lalu. Ia bukan masalah berlarutan cuma masalah ‘terkantoi’ baru-baru ini,” katanya.

Farid dan Diana hadir ke mahkamah di sini bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Menurut Farid, dia sudah 23 hari tidak bertemu kedua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora dan akan cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan mereka demi anak-anak.

“Saya harus menyelamatkan isteri dari terus diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan anak-anak kerana tanpa isteri saya, saya tak dapat jumpa anak-anak saya.

“Saya tidak dibenarkan jumpa anak selama 23 hari dan telefon pun tidak dibenarkan. Jadi, hari ini saya cuba menyelamatkan keluarga saya walaupun saya tahu itu kesalahan orang luar,” katanya.

Ditanya adakah dia akan memfailkan nusyuz terhadap Diana, Farid menegaskan dia menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.

“Mahkamah akan putuskan hal terbabit. Saya berserah kepada Allah kerana benda ini membabitkan hukum hakam Islam dan saya tak boleh buat keputusan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Farid tiba di mahkamah di sini kira-kira jam 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana. Malah Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

Sementara itu, Diana hadir lebih awal pada 8.55 pagi memakai baju hitam bersama pengawal peribadi.

Kira-kira lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan.

Diana Danielle nafi dia cur4ng

Pelakon, Diana Danielle, 32, menafikan dakwaan suami, Farid Kamil, 42, yang menuduhnya berlaku curang sehingga nekad untuk memfailkan perceraian.

Diana ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini, berkata, segala tuduhan yang dibuat Farid adalah fitnah semata-mata dan segala masalah yang berlaku berpunca daripada kesalahan suaminya.

“Itu semua fitnah. Masalah yang timbul adalah kesalahan dia 100 peratus. Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia nak belikan cincin kahwin saya? Kalau ‘kantoi’ kenapa nak bawa bunga?

“Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun, tapi baru hari ini dia nak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun,” katanya.

Diana dan Farid hadir ke mahkamah di sini bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Menurut Diana, kehadiran Farid membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga bukan untuk menyelamatkan perkahwinan sebaliknya mahu menjaga maruahnya.

“Ya saya masih dengan keputusan untuk bercerai. Dia bukan cuba nak menyelamatkan rumah tangga (pemberian bunga dan cincin), tapi nak menyelamatkan air muka dia saja,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak-anak, Diana memberitahu, puteri keduanya, Aurora, 8, kini berada dalam keadaan trauma.

“Aurora trauma,” katanya yang enggan menjawab punca anaknya itu trauma.

Farid Kamil turut beli cincin untuk pujuk Diana sempena ulang tahun perkahwinan ke-11

TIDAK hanya membawa sejambak bunga ros untuk isterinya, pelakon dan pengarah Farid Kamil mendedahkan sudah membeli sebentuk cincin buat Diana Danielle ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada pagi Selasa.

Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, berkata, cincin tersebut dibeli khas buat Diana bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11 tahun ini.

“Saya sudah beli cincin sebagai sambutan ke-11 ulang tahun perkahwinan kami. Tidaklah mahal sangat, cukup sekadar ada,” katanya kepada mStar.

Farid turut membawa sejambak bunga ke mahkamah untuk isterinya.

Farid dan Diana hadir ke mahkamah bagi proses lantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Sebelum itu, Farid yang tiba di mahkamah bersama peguam dan pihak pengurusannya turut membawa sejambak bunga ros berwarna merah sebagai tanda ingin memujuk Diana.

“Hari ini saya datang untuk memberi bunga kepada Diana sebagai tanda pendamaian pertama,” ujarnya.

Kedua-dua mereka juga dilihat tenang ketika disapa media sebelum melangkah masuk ke bagi proses lantikan JKP.

Pada 20 Mac lalu, dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan berita Farid dan Diana hadir ke mahkamah bagi sebutan kes perceraian yang difailkan oleh isterinya itu pada awal Mac.

Bagaimanapun ketika itu Farid enggan melepaskan Diana dengan alasan masih sayangkan isterinya.

Saya sudah beli cincin sebagai sambutan ke-11 ulang tahun perkahwinan kami
Diana atau Diana Danielle Danny Benson, 32, memfailkan penceraian tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Diana dalam permohonannya menyatakan tiada persefahaman selain shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup sebagai suami isteri sebagai punca dia memfailkan penceraian terhadap Farid.

Kemelut rumah tangga Farid dan Diana masih belum berkesudahan.

Pelakon filem Imaginur itu diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir manakala Farid diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun.

kredit: mstar

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *